GAGAL SEMAKAN REMAN, AISYAH HIJANAH, ALIF TEEGA KEKAL DIREMAN EMPAT HARI

12/07/2024 10:35 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Pasangan suami isteri pempengaruh media sosial yang terpalit isu dakwaan menyeleweng kutipan derma kekal ditahan reman empat hari selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk mengetepikan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan semakan yang difailkan Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, atau dikenali sebagai Alif Teega dan isterinya, Aisyah Hijanah Azhari, 26, selepas mendapati Majistret mematuhi peruntukan Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dalam membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Pihak SPRM seharusnya dibenar melengkapkan siasatan mereka terhadap pemohon dan perintah reman oleh Majistret ke atas mereka adalah sah. Oleh itu, permohonan untuk semakan ditolak," katanya.

Terdahulu, peguam Abd Rahim Ali berhujah anak guamnya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana badan awam seperti termaktub dalam Seksyen 3 Akta SPRM yang membolehkan mereka disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama.

"Pemegang saham dalam syarikat Hijanah Haul Holdings Sdn Bhd hanyalah Orang Yang Disyaki (OYDS) pertama dan kedua. Ahli-Ahli dalam syarikat itu juga bukanlah pegawai badan awam dan pihak kami berhujah tiada kaitan antara kedua-dua suspek dan kesalahan yang disyaki.

"Oleh kerana tidak terdapat sebarang kaitan maka perintah reman yang diberikan Mahkamah Majistret hendaklah diketepikan," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata Seksyen 23 hanyalah asas siasatan dan tidak semestinya OYDS akan dituduh mengikut seksyen itu.

"Seksyen 23 Akta SPRM hanyalah permulaan siasatan berdasarkan maklumat yang diperoleh.

"Permohonan semakan ini adalah pramatang kerana tiada apa-apa asas untuk mengatakan siasatan telah selesai dan tiada kesalahan di bawah seksyen tersebut," katanya sambil menambah prosedur reman ini adalah penting untuk membuktikan jika terdapat kesalahan dilakukan oleh kedua-dua pemohon atau sebaliknya.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How pula berkata permohonan reman dibuat oleh SPRM kerana terdapat dakwaan platform JomDonate digunakan oleh kedua-dua pempengaruh untuk mengumpul derma daripada orang awam.

"Jadi, ia adalah dana awam yang dimasukkan ke dalam platform tersebut dan fakta mengapa terdapat syarikat yang mendapat kebenaran untuk mengutip derma perlu disiasat dengan jelas," katanya.

Semalam, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman pasangan itu hingga 14 Julai ini untuk disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM berhubung penyelewengan wang kutipan derma melalui JomDonate.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan