STOKING KALIMAH ALLAH: KK MART, SYARIKAT PEMBEKAL DIDENDA RM60,000, PENGASAS DAN PENGARAH DILEPASKAN

15/07/2024 05:48 PM

SHAH ALAM, 15 Julai (Bernama) -- KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) serta syarikat pembekal Xin Jian Chang Sdn Bhd masing-masing didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan berkaitan stoking tertera kalimah Allah. 

Hakim Muhamad Anas Mahadzir menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua wakil syarikat itu Tee Kok Hiem, 61, (pengurus besar KK Mart) dan Soh Hui San, 36, (pengarah syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd) mengaku bersalah, selepas pertuduhan dibacakan semula kepada mereka secara berasingan. 

Mahkamah bagaimanapun melepaskan dan membebaskan pengasas Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isteri Loh Siew Mui daripada semua pertuduhan sama.

Turut dibebaskan daripada pertuduhan sama ialah tiga pengarah syarikat pembekal itu iaitu Soh Chin Huat, 61; Goh Li Huay, 62; dan, Soh Hui San, 36. 

Menurut kertas pertuduhan, KK Mart didakwa dengan sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah di rak pameran jualan kedai serbaneka itu di cawangan Bandar Sunway pada 6.30 pagi, 13 Mac lepas. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang  membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Xin Jian Chang Sdn Bhd pula dituduh bersubahat mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah pada tempat, waktu dan tarikh yang sama di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan memohon untuk menarik balik semua pertuduhan terhadap Chai dan isteri serta tiga pengarah syarikat.

“Saya mohon perintah agar semua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan,” katanya.

Bagaimanapun peguam Rajpal Singh dan Fahri Azzat yang mewakili kesemua tertuduh memohon supaya semua anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya.

Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, Rajpal Singh mewakili KK Mart memohon jumlah denda yang rendah mengambil kira anak guamnya memberi kerjasama diberikan kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata syarikat itu juga mengalami kerugian selain menghadapi pelbagai tindakan berbentuk jenayah melibatkan beberapa cawangan kedainya akibat daripada isu berkenaan. 

Fahri Azzat yang mewakili Xin Jian Chang Sdn Bhd juga merayu denda minimum memandangkan syarikat berkenaan telah pun dihentikan operasi dan turut mengalami kerugian dan ancaman rentetan isu tersebut.

Masri memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal memandangkan kes berkenaan telah menyentuh sensitiviti masyarakat Islam di negara ini. 

Muhamad Anas ketika menjatuhkan hukuman memerintahkan kedua-dua syarikat menjelaskan denda RM60,000 dalam masa tiga hari.

“Kes ini menarik perhatian ramai kerana melibatkan isu keagamaan, saya cuma ingin mengingatkan pada masa hadapan kerana ini isu melibatkan sensitiviti masyarakat muslim di negara ini, mana-mana agama bila melibatkan isu sedemikian menimbulkan perasaan yang lebih peka.

“KK Mart juga perlu lebih bertanggungjawab, memperketatkan pengendalian kawalan kualiti untuk tidak membiarkan perkara ini berlaku lagi,” katanya.

Kedua-dua syarikat dan individu-individu terbabit pada 17 Mei lepas telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengkaji pertuduhan terhadap mereka.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan