BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP ADUN KIJAL UNTUK BERSIHKAN NAMA SPRM - SAKSI

15/07/2024 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Seorang Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau membuat laporan polis terhadap Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali Idris untuk membersihkan nama agensi itu.

Ia berhubung satu ceramah Razali pada majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada Nov 2023. 

Muhamad Adib Azami, 40, berkata kandungan ceramah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu antaranya menyatakan jentera-jentera kerajaan, SPRM dan hakim-hakim telah dikawal oleh kerajaan (Perdana Menteri Ke-10) yang memerintah negara ini.

“Selain itu, Datuk Razali juga ada mempertikaikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang mensabitkan bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman atas empat pertuduhan (pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang) sebelum ini yang mana saya percaya ia bersifat menghina keputusan mahkamah.

"Saya merupakan salah seorang pegawai SPRM yang membuat siasatan terhadap kes Syed Saddiq dan kes ini telah disiasat dengan telus dan tiada campur tangan dari mana-mana pihak,” kata saksi pendakwaan kedua semasa membacakan pernyataan saksinya pada hari pertama perbicaraan kes Razali di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Pada 24 Nov tahun lepas, Razali, 58, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu didakwa menyebut perkataan menghasut dengan menyifatkan keputusan institusi kehakiman dikawal oleh kerajaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Padang Astaka Chukai, Kemaman antara jam 9.30 malam hingga 11.30 malam pada 10 Nov 2023 mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang membawa hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muhamad Adib yang juga pengadu dalam kes itu menegaskan bahawa tiada campur tangan oleh mana-mana pihak dalam siasatan SPRM terhadap Syed Saddiq selain keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman terhadap ahli Parlimen Muar itu dibuat secara telus.

Menurut saksi, laporan polis itu dibuat pada 15 Nov tahun lalu selepas beliau melihat satu hantaran di aplikasi TikTok sehari sebelum itu semasa Razali menyampaikan ceramahnya pada majlis pelancaran PRK Kemaman.

“Pada 14 Nov 2023 jam lebih kurang 11 malam, semasa saya berada di rumah di Putrajaya saya terlihat satu hantaran di aplikasi TikTok oleh pemilik akaun “@wancin”,” katanya dan memaklumkan tayangan (hantaran) di aplikasi TikTok itu mengambil masa lebih kurang dua minit serta tertera nama Razali di kapsyen TikTok tersebut.

Kepada soalan peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Razali sama ada laporan polis itu dibuat tidak mewakili SPRM dan Muhamad Adib menjawab: ‘Ya’, laporan polis itu dibuat atas kapasiti peribadi.

Saksi itu turut bersetuju dengan cadangan Awang Armadajaya bahawa beliau tiada sebarang arahan daripada SPRM dan pihak mahkamah semasa membuat laporan polis berkenaan. 

Ketika pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal, Muhamad Adib berkata beliau membuat laporan polis berkenaan kerana ia meninggalkan kesan kepada pegawai penyiasat dan merendahkan moral pegawai.

Terdahulu, saksi pendakwaan pertama jurufoto dari Cawangan D6 Bantuan Teknik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Mohd Zaidi Mohd Di, 41, memberitahu mahkamah bahawa beliau telah ditugaskan untuk merakam gambar dan video pada majlis berkenaan.

“Sebanyak 20 keping gambar majlis pelancaran jentera PRK Kemaman telah diambil dan rakaman video adalah selama dua jam 35 minit 33 saat,” katanya.

Sementara itu, saksi pendakwaan ketiga Inspektor Mohamad Ramizan Ramli, 39, berkata majlis ceramah itu mendapat permit polis dan seramai 5,000 orang menghadiri majlis itu yang berjalan lancar.

Perbicaraan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali bersambung pada 27 Sept ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan