POLIS KESAN WARIS 'IBU YUNI’

15/07/2024 06:22 PM

MELAKA, 15 Julai (Bernama) -- Polis mengesan ahli keluarga atau waris seorang wanita dipercayai warga Indonesia dikenali sebagai 'Ibu Yuni' bagi urusan tuntutan mayat wanita itu di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata wanita terbabit ditemukan orang awam dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri di tempat letak kenderaan berhampiran sebuah kedai di Taman Malim Jaya pada 8.18 pagi, 10 Julai lepas.

Beliau berkata orang awam kemudian menghubungi Hospital Melaka untuk bantuan ambulans sebelum wanita itu disahkan telah meninggal dunia oleh pembantu perubatan hospital berkenaan. 

"Mayat tanpa identiti itu dipercayai wanita warga Indonesia berusia 40-an, mempunyai bentuk muka bulat, kulit sawo matang, lengkap berpakaian dan memakai tudung warna hitam.

"Siasatan awal mendapati kematian wanita itu tidak mempunyai unsur jenayah dan usaha mengenal pasti identitinya melalui cap jari sedang dilakukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata punca kematian belum dikenali pasti dan pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat.

Orang ramai, ahli keluarga atau waris yang mengenali wanita itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Shukor Mohamed menerusi talian 017-2126716 atau talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah 06-2841999.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan