WANITA WARGA ASING MAUT DITIKAM

18/07/2024 08:36 PM

GEORGE TOWN, 18 Julai (Bernama) -- Seorang wanita warga asing ditemukan mati dengan beberapa kesan tikaman di Flat Taman Indah, Batu Maung dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata polis menerima maklumat daripada orang awam yang menemui wanita berumur lingkungan 30-an itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di kaki lima tingkat tiga bangunan berkenaan kira-kira 9.50 malam.

"Pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan tikaman di bahagian leher, dada dan kaki wanita itu dipercayai akibat ditikam dengan senjata tajam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa disahkan telah mati oleh pasukan perubatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kamarul Rizal berkata polis kini giat mengesan seorang lelaki warga Myanmar Khin MH Myo, 34, dipercayai rakan wanita itu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki berkenaan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP A. Ganthan di talian 014-923 7366 atau 04-866 2222.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan