PGA7 rampas 1,030 kilogram minyak masak paket di sempadan Malaysia-Thailand

26/07/2024 10:48 PM

KOTA BHARU, 26 Julai (Bernama) -- Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 1,030 kilogram (kg) minyak masak paket bernilai RM2,575, dalam dua operasi berasingan di pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan pada Rabu.

Sumber berkata dalam kejadian pertama pada 8.30 malam 24 Julai, sepasukan anggota PGA7 yang membuat rondaan di kawasan Tok Uban, Pasir Mas telah ternampak sebuah kereta jenis Proton Iswara dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata anggota menghampiri dan mengarahkan pemandu untuk memberhentikan kenderaan, namun pemandu bertindak keluar daripada kenderaan dan melarikan diri ke kawasan perumahan berdekatan. 

“Pemeriksaan di dalam kereta menemukan sebanyak 799 paket minyak masak bernilai RM1,997.50 yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran,” katanya.

Dalam kejadian berasingan awal pagi semalam pula, sumber berkata PGA7 merampas 231kg minyak paket bernilai RM577.50, serta menahan seorang lelaki berusia 58 tahun di pangkalan haram Kak Yam di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Beliau berkata dalam serbuan pada 10.15 malam itu, anggota PGA7 yang membuat rondaan di sekitar pangkalan haram tersebut telah ternampak sekumpulan lelaki memunggah kotak-kotak dan bungkusan plastik ke dalam sebuah kereta jenis Proton Wira.

“Ketika serbuan, kumpulan lelaki itu bertindak melarikan diri dengan menaiki perahu ke negara jiran manakala seorang lelaki berusia 58 tahun yang berada berdekatan kereta, ditahan dan dan mengaku sebagai pemilik barangan tersebut,” katanya.

Keseluruhan rampasan dalam dua serbuan itu termasuk dua kereta (bernilai RM16,000) dianggarkan berjumlah RM18,575.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail, mengesahkan menerima serahan hasil rampasan daripada PGA7, semalam.

Beliau berkata mereka sedang menjalankan siasatan lanjut berkaitan kes itu di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan