Imigresen Selangor Tahan 34 Warga Asing Tanpa Permit Sah

02/08/2024 02:37 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Seramai 34 pendatang tanpa izin ditahan dalam serbuan di sekitar Cyberjaya, Kajang dan Bandar Baru Bangi, Selangor atas pelbagai kesalahan termasuk tinggal di Malaysia tanpa permit sah, Isnin lepas.

Pengarah Imigresen Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata operasi yang bermula pukul 2 petang itu turut memeriksa 36 premis dan 166 individu.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 12 warganegara Indonesia, Bangladesh (16), Myanmar (3), Nepal (2) dan seorang warga India. Rata-rata mereka ini bekerja di restoran dan kedai runcit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata selain dikesan tinggal di negara ini tanpa pas dan permit sah, ada juga yang melakukan kesalahan kerana melanggar syarat pas.

Khairrul Aminus berkata kesemua pendatang tanpa izin berusia 20 hingga 40 tahun itu dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan