Polis Tahan Lelaki Proses Air Ketum, Edar Vape Mengandungi Dadah Di Sandakan

18/08/2024 06:55 PM

SANDAKAN, 18 Ogos (Bernama) -- Polis menumpaskan kegiatan memproses air ketum serta mengedar cecair vape mengandungi dadah di sebuah rumah dengan penahanan seorang lelaki tempatan di kawasan Taman Tai Fai Yen di sini pada Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Sandakan Supt K Ramasamy berkata suspek berusia 42 tahun itu ditahan polis bahagian siasatan jenayah narkotik di sini semasa memproses bahan terbabit di kediamannya di kawasan itu pada 12 tengah hari.

"Suspek ditahan bersama 7.85 kilogram serbuk ketum termasuk peralatan memproses dan menyimpan air ketum serta 227 botol cecair vape pelbagai jenama dan saiz yang mengandungi dadah dengan nilai rampasan dianggarkan RM25,230.

"Siasatan awal mendapati suspek  memproses dan menjual sendiri air ketum kepada pelanggan tetap dengan cara menyamar sebagai penghantar makanan untuk menghantar bekalan air ketum dan cecair vape berkenaan bagi mengaburi mata pihak polis," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ramasamy berkata suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu menjalankan kegiatan memproses air ketum dan menjual cecair vape sejak dua tahun lepas dan pernah ditangkap beberapa kali oleh polis atas kesalahan sama.

Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 20 Ogos ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3)  Akta Racun 1952, tambah beliau.

Selain itu, polis sedang mengesan pembekal bahan terlarang itu kepada suspek, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan