Penoreh Getah Mengaku Bersalah Tikam Tuan Rumah Sewa

19/08/2024 01:31 PM

SUNGAI SIPUT, 19 Ogos (Bernama) -- Seorang penoreh getah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menikam tuan rumahnya yang datang meminta bayaran sewa rumah Khamis lepas. 

Mohd Shah Rizal Yang, 40, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan. 

Lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera, dengan menggunakan sebilah pisau ke atas Muhammad Hairolnizam Osman, 44, di sebuah rumah kira-kira 11 pagi di Kampung Lasah dalam daerah Sungai Siput Utara pada 15 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara hingga tiga tahun, atau denda, atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan-seksaan itu.

Timbalan Pendakwa Raya R.S.Vitthiyeswary menawarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai berdekatan dua minggu sekali dan dilarang mendekati mangsa sehingga kes selesai. 

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Hajar Hamzah yang mewakili tertuduh memohon suatu jaminan yang minimum kerana pendapatan tertuduh sebagai penoreh getah hanya RM30 sehari.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin serta melaporkan diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali, dilarang mendekati mangsa sehingga kes selesai dan menetapkan 21 Oktober untuk tarikh sebutan semula kes bagi laporan rawatan perubatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan