Dua Gelang Emas Dicuri, Peniaga Rugi Rm10,000

22/08/2024 11:00 AM

ALOR GAJAH, 22 Ogos (Bernama) -- Seorang peniaga barang kemas kerugian kira-kira RM10,000 selepas dua gelang emas seberat 29.26 gram (g) dicuri di kedainya di Bangunan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata dalam kejadian kira-kira 12.50 tengah hari itu, Noor Akhmar Abu Bakar, 28, didatangi seorang wanita berusia antara 30 hingga 40an yang ingin melihat seutas gelang tangan.

Beliau berkata Noor Akhmar yang ketika itu ditemani ibunya menyerahkan seutas gelang kepada wanita itu sebelum suspek meminta seutas lagi.

"Selepas menerima dua utas gelang tangan itu, suspek kemudiannya bertindak melarikan diri menuju ke sebuah kereta jenis Toyota Yaris yang diletakkan di hadapan kedai emas tersebut.

"Terdapat seorang lelaki yang bertindak sebagai pemandu telah menunggu di dalam kenderaan itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata suspek bagaimanapun tidak menggunakan kekerasan terhadap mangsa dan siasatan awal menemukan empat cap jari di lokasi kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan