Imigresen Gempur Kelab Malam Tawar GRO Warga Asing

22/08/2024 01:43 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Jabatan Imigresen menahan 213 warga asing atas pelbagai kesalahan selepas menyerbu sebuah kelab malam berdekatan Jalan Raja Chulan di sini awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Jafri Embok Taha berkata 109 wanita dan 104 lelaki itu ditahan selepas pihaknya memeriksa 300 individu termasuk 12 lelaki dan dua wanita warga tempatan dalam Op Gegar yang dijalankan pada 12.45 tengah malam.

Beliau berkata kelab malam itu didapati menyediakan bilik karaoke bermula dengan bayaran RM4,000 hingga RM30,000 lengkap dengan layanan wanita warga asing. 

“Kami menyerbu pusat hiburan itu susulan aduan orang awam yang mengatakan terdapat aktiviti yang disyaki menyalahi undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas operasi tamat sambil menambah serbuan dilakukan dengan kerjasama Imigresen Melaka.

Difahamkan premis ini hanya menawarkan tempahan secara dalam talian kepada pelanggan dan tidak dibenarkan untuk ‘walk in’.

Jafri berkata mereka yang ditahan terdiri 186 warga China, Kemboja dan Hong Kong (masing-masing dua), masing-masing seorang dari Pakistan, Bangladesh, Sierra Leon, Myanmar, Thailand, Taiwan, Indonesia, Autigua Barbuda dan St. Kitts and Devis dan selebihnya ialah rakyat tempatan, kesemuanya berumur 20 hingga 60 tahun.

Beliau berkata antara kesalahan termasuk penyalahgunaan pas lawatan dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah, dan semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Bagi pemilik premis juga akan dikenakan tindakan kerana disyaki melindungi dan menggaji pendatang di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan