Shahrol Azral Desak Federalisasi Tia - Peguam Najib

22/08/2024 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi "amat bersungguh-sungguh" dan mendesak langkah federalisasi Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dinamakan sebagai 1MDB, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berkata Shahrol Azral berterusan mendesak Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) untuk mengambil alih semua saham TIA daripada pemegang saham khususnya Menteri Besar Terengganu Incorporated (MBTI).

"Adalah jelas walaupun keputusan untuk federalisasi TIA pada 29 Sept 2009 dibuat oleh Kabinet, cadangan dan dorongan di sebalik keputusan itu ternyata bukan berasal daripada bekas Perdana Menteri itu.

"Hipokrit untuk menuduh keputusan Kabinet itu sebagai penyalahgunaan kuasa Najib apabila mahkamah sama juga menunjukkan surat-menyurat berterusan daripada Shahrol Azral kepada Perdana Menteri, mencadangkan MOF Inc membeli saham biasa TIA daripada MBTI dan memberi jaminan kepada Najib bahawa MOF Inc tidak memerlukan persetujuan parlimen untuk mengambil alih TIA," katanya.

Wan Azman Aiman berkata demikian dalam hujahannya pada akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Pihak pembelaan berhujah bahawa permintaan berulang kali Shahrol Azral kepada Najib untuk federalisasi TIA dalam apa jua keadaan, menjelaskan dua salah faham utama.

"Pertama, ia menunjukkan bahawa langkah itu bukan sebahagian daripada rancangan besar Najib untuk kepuasan diri sendiri dan kedua, ia membuktikan bahawa keputusannya tidak pernah berdasarkan alasan yang mendesak dan sah," kata peguam itu.

Wan Azwan Aiman turut berhujah bahawa bahagian pertama pertuduhan dihadapi Najib tidak boleh digunakan untuk mengaitkan anggapan di bawah Seksyen 23 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, kerana kurang bukti yang menunjukkan kepentingan peribadi Najib dalam keputusan untuk federalisasi TIA.

"Malah, tanpa bukti terbabit, keseluruhan pertuduhan yang didakwa adalah gagal," katanya.

Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 hingga 19 Dis 2014.

Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Najib didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, dan di bawah Seksyen 41(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Penghujahan bersambung petang ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan