Nyaris Dihanyutkan, Mangsa Kepala Air Syukur Terselamat

24/08/2024 02:14 PM

TANJUNG MALIM, 24 Ogos (Bernama) -- Mangsa kejadian kepala air di Risda Eco Park Kg Ulu Slim dekat sini hanya mampu melihat barangan berharga seperti telefon bimbit dan komputer riba dihanyutkan arus deras.

Nor Fatihah Ahmad, 33, bagaimanapun bersyukur beliau dan keluarga terselamat setelah mereka juga nyaris ‘dibaham’ kepala air dalam kejadian petang semalam itu. 

Guru dari Sabak Bernam, Selangor itu ketika ditemui pemberita berkata semasa kejadian dia sedang bersolat di dalam khemah yang telah siap dipasang sebelum terdengar bunyi deruan air yang kuat. 

"Ketika itu saya terus memeluk anak-anak keluar dari khemah dan terpaksa membiarkan kesemua barangan seperti telefon bimbit, komputer riba dan beg-beg pakaian dihanyutkan air. 

"Saya terus berlari menyelamatkan diri ke tempat lebih tinggi dan ketika itu saya lihat beberapa khemah lain yang dipasang lesap dihanyutkan air deras, tetapi pengunjung lain dapat menyelamatkan diri, " katanya yang berkhemah bersama suaminya, Syed Abdul Kadir, 35, dan dua anak mereka berusia tujuh dan sembilan tahun. 

Katanya mereka empat sekeluarga telah beberapa kali melakukan aktiviti perkhemahan dan ini kali pertama berdepan saat cemas seperti itu. 

"Ketika di dalam khemah saya lihat kayu-kayu dan batang kelapa sawit berterbangan disertai air deras bagai tsunami. Saya begitu bersyukur kami yang terlibat terselamat," katanya. 

Sementara itu, seorang penduduk Zainuddin Khalid, 65, berkata kejadian kepala air pernah berlaku di kawasan itu pada tahun 80an.

Anak jati Kg Ulu Slim itu berkata kejadian kali ini bagaimanapun agak luar biasa kerana menyebabkan Muka Sauk Loji Rawatan Air Sungai Geliting pecah dan Jambatan Lama Sungai Slim turut runtuh. 

"Jambatan itu yang paling kukuh kerana saya lahir pun ia dah wujud, saya sekarang 65 tahun bermakna kejadian (kepala air) sangat dahsyat sehingga jambatan itu pun boleh patah dua (runtuh)," katanya. 

Terdahulu dalam kejadian 7 petang semalam, 19 pengunjung dan dua kakitangan terperangkap dalam kejadian kepala air di Risda Eco Park berhampiran Sungai Geliting dekat sini. 

Hujan lebat berterusan dan kejadian kepala air menyebabkan jambatan yang menghubungkan Risda Eco Park dengan jalan utama runtuh dan turut menyebabkan struktur Muka Sauk Sungai Geliting pecah. 

Arus deras menyukarkan operasi menyelamat susulan tiada laluan lain ke pusat rekreasi itu dan pasukan penyelamat terpaksa menunggu sehingga air surut pagi ini untuk menjalankan operasi.

Kesemua mangsa berjaya diselamatkan kira-kira 12 tengah hari tadi. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan