BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 

Polis Saran Peniaga Di Masjid India Tutup Premis Sementara, Elak Risiko Gas Beracun

24/08/2024 03:46 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Peniaga di Jalan Masjid India disaran menutup premis perniagaan masing-masing buat sementara waktu, bagi mengelak risiko terhidu gas beracun yang mungkin keluar daripada lurang kumbahan semasa operasi pencarian wanita mangsa tanah jerlus dilaksanakan.

Ketua Polis Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata meskipun keadaan di sekitar kawasan Jalan Masjid India itu buat masa ini selamat, namun langkah berjaga-jaga juga perlu diambil kerana kebocoran gas beracun boleh menimbulkan risiko kesihatan kepada pengunjung dan juga peniaga jika terhidu.

“Pada masa yang sama, kami menasihatkan peniaga untuk menutup perniagaan mereka buat sementara waktu, bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan yang berpotensi disebabkan oleh kebocoran gas dari lurang di sepanjang laluan aliran air,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sulizmie Addendy berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang meneruskan siasatan ke atas struktur tanah di kawasan tersebut, untuk dapatan yang lebih terperinci dan penemuan tambahan untuk membantu pencarian.

Semalam, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata operasi perniagaan di Jalan Masjid India, di sini boleh dijalankan seperti biasa pada hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan bomba di sekitar lokasi kejadian tanah jerlus ini mendapati kawasan itu selamat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan