BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 

Kelab Bomba Cilik Perluas Elemen Keselamatan Kebakaran, Air

24/08/2024 03:55 PM

KUALA LUMPUR,  24 Ogos (Bernama) -- Penjenamaan semula Kelab Keselamatan Kebakaran Kanak-Kanak (Kelab 3K) kepada Kelab Bomba Cilik (KBoC) satu inisiatif rentas agensi bagi memperluas elemen keselamatan mengenai kebakaran dan air yang berkait dengan tugas kebombaan serta penyelamatan.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata kelab ini secara asasnya ditubuhkan di peringkat prasekolah, tabika serta tadika yang bertujuan memberikan pengetahuan asas berkaitan keselamatan seawal usia lima dan enam tahun.

“Jika dahulu pelaksanaan Kelab 3K hanya berfokus kepada kesedaran keselamatan kebakaran, kini di bawah jenama Kelab Bomba Cilik, modul pembelajaran prasekolah ini ditambah baik dengan elemen kesedaran keselamatan di air.

"Kedua-dua elemen ini amat penting diterapkan di peringkat awal pendidikan kanak-kanak kerana berdasarkan rekod JBPM dari 2020 hingga 2023, secara purata sebanyak 65 kes kematian akibat kebakaran dan 53 kes korban akibat lemas melibatkan kanak-kanak berusia di bawah enam tahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pelancaran KBoC di Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah di sini hari ini.

Nor Hisham turut menyerahkan plak Bomba Cilik dan sijil penghargaan kepada wakil agensi-agensi pelaksana prasekolah antaranya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Selangor, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Kemajuan Malaysia, Jabatan Pasti Malaysia dan Angkatan Belia Islam Malaysia.

Beliau berkata pemilihan nama KBoC bagi penyeragaman dengan nama bomba untuk dihubungkan dengan teras utama dan tujuan penubuhan badan-badan beruniform yang dibentuk di setiap peringkat pendidikan seperti Bomba Bantuan Siswa dan Briged Bomba (pendidikan tinggi), Kadet Bomba (sekolah menengah) dan Bomba Junior (sekolah rendah).

Nor Hisham berkata KBoC menawarkan keahlian secara terbuka kepada semua prasekolah, tadika dan tabika. 

Setakat ini, Kelab 3K mempunyai sebanyak 1,212 kelab dengan keahlian 34,668  peserta dan sebaik pelancarannya hari ini, secara automatik kesemua Kelab 3K sedia ada ini akan didaftarkan dengan nama KBoC dan JBPM menyasarkan 2,000 keahlian menjelang 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan