Sindiket Bawa Masuk Warga Asing: 13 Individu Termasuk Dua Penguat Kuasa Ditahan

29/08/2024 10:13 PM

KUALA LUMPUR 29 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan 13 individu termasuk dua penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana disyaki terlibat dengan sindiket membawa masuk warga asing.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata penahanan suspek lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 50-an di sekitar Lembah Klang itu dilakukan menerusi Op Setting hasil perkongsian maklumat perisikan antara agensi.

“Dua suspek penguat kuasa tersebut disyaki terlibat dengan perbuatan itu sejak tahun 2016 dengan menerima bayaran rasuah antara RM300 hingga RM2,500 untuk setiap warga asing yang masuk mengikut kewarganegaraan.

“Sembilan suspek lain adalah ejen dan dua proksi yang menjadi pemegang aset bagi pihak suspek penguat kuasa,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata hasil serbuan juga menyaksikan wang tunai kira-kira RM50,000 disita dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 manakala suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok untuk permohonan reman. 

Azam juga berkata berdasarkan siasatan SPRM menerusi Op Pump baru-baru ini, pihaknya mengesyaki seramai 46 pegawai penguat kuasa sebuah agensi kerajaan terlibat dalam sindiket dengan membawa masuk warga asing menerusi modus operandi ‘counter setting’ di KLIA.

Beliau berkata setakat ini, hasil siasatan mengesan mereka memudahkan kemasukan warga asing terbabit ke negara ini tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen melalui kaunter tertentu.

Tindakan pegawai penguat kuasa bersubahat dengan ejen melibatkan bayaran rasuah itu telah menyebabkan warga asing dapat memasuki Malaysia dengan mudah sebagai pelancong sebelum ‘hilang’ dan disyaki bekerja secara tidak sah di negara ini.

Azam berkata pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bagi merakam percakapan pegawai penguat kuasa terbabit bagi membantu siasatan dan tidak menolak kemungkinan ada tangkapan lain dalam masa terdekat.

Semalam, seorang warga Myanmar yang juga ejen sindiket telah didakwa di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 kerana memberi rasuah RM5,650 kepada penguat kuasa Imigresen sebagai upah melepaskan kemasukan sembilan individu dari negara itu di pintu masuk KLIA2 tanpa melalui prosedur yang ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan