Kes Wanita Dakwa Dijadikan Perempuan Simpanan Along Hanya Rekaan - Polis

01/10/2024 07:33 PM

GEORGE TOWN, 1 Okt (Bernama) -- Kes wanita mendakwa dijadikan perempuan simpanan oleh sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau 'along' di Pulau Pinang, menerusi satu sesi audio siar di laman sosial TikTok hanya rekaan dan wanita itu ditemukan selamat oleh polis semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang berjaya mengesan kedudukan wanita terbabit kira-kira 10.50 malam sebelum menjumpainya di sebuah rumah di Seberang Perai Utara.

“Hasil soal siasat mendapati wanita itu telah menghubungi program wawancara (sesi audio siar) itu pada 26 Julai lepas.

“Kejadian dia dipaksa bekerja tanpa gaji oleh along di ‘rumah merah’ adalah tidak benar dan tidak pernah berlaku. Wanita itu telah mereka cerita kejadian terbabit sekadar untuk meluahkan perasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata wanita itu turut mengaku membuat pinjaman wang dengan beberapa syarikat pemberi pinjam wang dan menerima ugutan daripada syarikat terbabit kerana gagal membayar hutang, malah ibunya yang berada di kampung turut menerima ugutan.

Kes, katanya disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Hamzah berkata satu laporan polis telah dibuat kira-kira 3 petang semalam berkaitan video berdurasi 18 minit 31 saat yang dimuat naik oleh pemilik satu akaun TikTok.

“Rakaman video itu memaparkan wawancara dalam talian menemu bual mangsa iaitu seorang wanita berumur 26 tahun.

“Mangsa mendedahkan bapanya berhutang RM20,000 dengan along dan kegagalan membayar hutang menyebabkan mangsa dipaksa bekerja tanpa gaji dengan along sebagai perempuan simpanan di Pulau Pinang sejak Februari tahun ini,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan