Fattah Amin Ceraikan Fazura Talak Satu

07/10/2024 12:49 PM

PETALING JAYA, 7 Okt (Bernama) -- Selepas melayar bahtera perkahwinan selama tujuh tahun, pelakon filem Pendekar Awang, Fattah Amin dan isterinya Fazura sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari hari ini.

Fattah, yang nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, melafazkan cerai talak satu terhadap Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh.

Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah pada 13 Sept lepas atas alasan mereka tidak ada persefahaman.

Pelakon filem Gol & Gincu itu dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 Nov 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima yang kini berusia empat tahun.

Selepas prosiding, Fazura dilihat menangis semasa keluar dari mahkamah dan turut bersalaman dengan ibu serta bapa mentuanya.

Sementara itu, peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Fazura berkata setelah meneliti cadangan persetujuan yang dikemukakan pihak defendan (Fattah) berkaitan perceraian, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk bercerai.

“Rentetan itu, pihak defendan telah dibenarkan untuk melafazkan cerai talak satu kali pertama terhadap plaintif (Fazura). 

“Oleh itu, lafaz cerai telah dibuat oleh defendan pada 9.45 pagi dan terma persetujuan telah direkodkan berkaitan nafkah idah dan nafkah anak serta apa-apa yang berkaitan dengan bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah,” katanya pada sidang media selepas prosiding kes itu.

Menurut Fakhrul Azman, mengenai hak penjagaan anak ia akan direkodkan di Mahkamah Tinggi Syariah.

Dalam pada itu, Fakhrul Azman berkata pihaknya telah mengemukakan notis saman kepada individu yang membuat kenyataan tidak benar berkaitan rumah tangga pasangan selebriti itu.

“Individu itu telah menyatakan Fazura telah mengkambing hitamkan Fattah, seolah-olah Fazura telah menimbulkan isu berkaitan dengan curang sebelum kita hadir ke mahkamah. Sebenarnya Fazura tidak pernah cakap langsung sebelum ke mahkamah bahawa berlakunya curang antara Fattah,” jelasnya.

Sementara itu, peguam Syarie Zulkifli Che Yong yang mewakili Fattah turut mengesahkan lafaz cerai oleh anak guamnya dan memaklumkan bahawa antara terma perjanjian itu ialah kedua-dua pihak perlu menjaga aib dan tidak memburukkan serta menyebarkan fitnah antara satu sama lain selepas perjanjian ditandatangani.

“Jadi saya sentiasa menasihati Fattah dalam memberikan kenyataan, kita jangan lari daripada perjanjian yang telah dipersetujui. Masing-masing ada alasan masing-masing tetapi berdasarkan perjanjian ini, tidak boleh diaibkan.

“Saya belum menilai kenyataan pihak sana (Fazura).  Anak guam saya perlu menilai dulu apa kenyataan-kenyataan yang berbentuk tohmah atau mengaibkan dan sekiranya berlaku ia satu perlanggaran terhadap perjanjian,” kata peguam itu.

Beliau berkata sekiranya ada pelanggaran terhadap perjanjian itu, pihak yang manjadi mangsa boleh memfailkan permohonan menghina mahkamah.

“Sekiranya dibenarkan, mahkamah akan mengeluarkan satu notis tunjuk sebab kenapa seseorang itu tidak patut dipenjarakan kerana tidak melaksanakan perintah yang telah ditetapkan.

“Justeru itu, kedua-dua pihak perlu melaksanakan terma-terma yang telah dipersetujui,” katanya.

Fazura tiba di mahkamah pada 9.17 pagi  diiringi beberapa pengawal peribadinya manakala Fattah hadir bersama peguamnya pada 9.39 pagi.

Kedua-dua mereka dlihat meninggalkan pekarangan mahkamah sekitar pukul 11 pagi.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan