Dua Suspek Termasuk Datuk Ditahan SPRM Berkaitan Rasuah Seleweng Diesel

08/10/2024 05:56 PM

SIBU, 8 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk seorang bergelar Datuk kerana dipercayai memberi rasuah kepada pegawai sebuah agensi penguat kuasa dalam kes penyelewengan diesel bersubsidi di sini.

SPRM dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan kedua-dua suspek lelaki dan wanita dalam lingkungan 60-an itu melakukan perbuatan itu sebagai balasan agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat tempat mereka bekerja..

"Kedua-dua suspek lelaki dan wanita ini masing-masing berjawatan sebagai pengerusi dan pengarah sebuah syarikat yang menguruskan pembelian dan penjualan minyak diesel bersubsidi.

"Namun, mereka disyaki telah menyeleweng minyak diesel bersubsidi dengan menyeludup dan menjual kepada pihak luar serta bagi melindungi kegiatan itu, mereka dipercayai memberi wang rasuah kepada beberapa penguat kuasa," katanya.

Menurut SPRM salah seorang suspek ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Sibu manakala seorang lagi ditahan di sebuah pusat perubatan di daerah ini sekitar jam 11.20 pagi hingga 12.30 tengah hari hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Katanya kedua-dua suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dikehendaki membayar wang jaminan RM50,000 tunai dan RM50,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan