Rogol Wanita Hamil: Rayuan Buruh Ditolak, Dipenjara Sembilan Tahun

09/10/2024 05:10 PM

KUALA TERENGGANU, 9 Okt (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan terhadap seorang buruh yang didapati bersalah merogol seorang wanita hamil tujuh bulan di Kemaman, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan tersebut selepas menolak rayuan Mohammad Sukri Jaafar, 43, dan memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Mohammad Sukri diwakili oleh peguam Muhammad Nadzir Abdullah manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohamad bertindak bagi pihak pendakwaan.

Pada 16 Jan lepas, Mahkamah Sesyen Kemaman menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohammad Sukri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Sukri didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 20 tahun di kawasan pembuangan sampah di Kampung Mak Chili, Chukai, Kemaman pada 10 pagi, 25 Okt 2019.

Media sebelum ini melaporkan tindakan mangsa menumpang kereta tertuduh yang tidak dikenalinya membawa padah apabila dia dirogol individu terbabit di kawasan pembuangan sampah. 

Menurut laporan. kejadian berlaku apabila mangsa yang sedang menunggu bas di perhentian bas kampung berkenaan untuk ke rumah kakaknya di Chukai telah didatangi oleh tertuduh yang memandu kereta dan ,mempelawanya menaiki kenderaan itu lalu merogolnya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan