Warga Asing Ditahan Kerana Pukul Pemandu E-panggilan Selepas Ditegur Akibat Muntah

09/10/2024 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Dua warga asing ditahan kerana disyaki memukul seorang pemandu e-panggilan selepas ditegur kerana termuntah di dalam kereta yang dinaiki mereka, dalam kejadian di  Kampung Cheras Baru, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata mangsa telah mengambil penumpang berkenaan terdiri daripada seorang lelaki dan seorang perempuan berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun di Jalan Sultan Ismail, sini, pada kira-kira pukul 12.40 tengah malam.

“Dalam perjalanan, penumpang lelaki telah termuntah lalu ditegur oleh mangsa dan apabila tiba ke destinasi iaitu sebuah kondominium di Kampung Cheras Baru, kedua-dua penumpang menolak mangsa sehingga terjatuh.

“Mereka dikatakan turut menumbuk di bahagian mulut mangsa yang berusia 50 tahun itu dan menyebabkan luka di bahagian siku tangan kiri serta lebam di bahagian tapak tangan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Azam berkata kedua-dua suspek ditahan di kondominium berkenaan pada pukul 11 pagi Isnin dan Mahkamah Majistret Ampang membenarkan reman terhadap mereka selama empat hari bermula semalam hingga Jumaat.

Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif manakala kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan