BERITA TERGEMPAR   Flood preparation: 459 PPS identified in Kelantan, capable of accommodating more than 100,000 victims - MB | 

Polis Tahan Lelaki Terlibat Kes Buli Jalanan Tular Di Media Sosial

10/10/2024 12:36 PM

SHAH ALAM, 10 Okt (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes buli jalanan yang tular di media sosial beberapa hari lalu.

Suspek berusia 26 tahun, yang bekerja sebagai penjual komponen kenderaan, ditahan pada 5.30 petang semalam di Meru, Klang dan polis turut merampas kenderaan yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata dalam kejadian pada 9.45 malam, Sabtu lepas suspek dipercayai memandu secara melulu serta menghimpit sebuah kenderaan yang dinaiki lelaki tempatan bersama isteri serta seorang anak perempuan di kawasan Bulatan Kayangan, Seksyen 10 di sini.

Beliau berkata kedua-dua kenderaan kemudiannya berhenti di tepi jalan berhampiran hentian bas berdekatan sebelum suspek datang ke arah kenderaan mangsa dan cuba menarik kunci kereta semasa mangsa membuka pintu namun tidak berjaya. 

“Berlaku pertengkaran mulut antara suspek dengan mangsa sebelum suspek masuk semula ke dalam kereta dan cuba melanggar mangsa sebanyak dua kali.

“Cubaan pertama dielak mangsa namun kali kedua mangsa telah dilanggar sehingga terjatuh dan kaki kanannya digilis tayar kereta sebelum suspek memecut melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mangsa berumur 49 itu mengalami kecederaan keretakan kecil di kaki kanan dan telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Shah Alam.

Mohd Iqbal berkata mangsa yang bekerja sebagai jurulatih kapal laut telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 10.28 malam hari yang sama.

Beliau berkata siasatan mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati dengan  suspek mendakwa kenderaannya dihalang oleh kereta dipandu mangsa semasa hendak ke susur kiri dari arah Bulatan Kayangan Seksyen 10 menghala ke Seksyen 7. 

Mohd Iqbal berkata suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah namun hasil ujian saringan awal air kencing mendapati positif dadah jenis Benzo.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 307/279 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah ASP Md Anuar Md Amilah ditalian 019-2255597 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan