APMM Tahan Kapal Kargo Bersauh Tanpa Kebenaran Di Pulau Jarak

12/10/2024 04:51 PM

IPOH, 12 Okt (Bernama) --  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan sebuah kapal kargo yang bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 11.7 batu nautika timur Pulau Jarak kira-kira 2.30 pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata kapal terbabit dikesan menerusi pemantauan Sistem Pengawasan Laut (Swasla) Lumut ketika sedang melakukan aktiviti bersauh.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal kargo membawa muatan pasir itu dikendalikan seorang nakhoda bersama 19 kru warga China serta tiga kru warga Myanmar, berumur lingkungan 21 hingga 58 tahun, gagal mengemukakan surat kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata tiga anak kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 491B(1)(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan