Anggota Tentera, Rakan Maut Motosikal Bertembung Lori

13/10/2024 04:20 PM

KOTA BHARU, 13 Okt (Bernama) -- Seorang anggota tentera darat dan rakannya maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kampung Tok Che Dol, Tanah Merah, semalam.

Ketua  Polis Daerah Tanah Merah Supt Mohd Haki Hasbullah berkata kemalangan pada 5.30 petang itu menyebabkan anggota tentera terbabit yang juga penunggang motosikal itu, Muhammad Hafizul Abdullah Sani, 23, dan rakannya Muhammad Zulekhman Mokhtar, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Berdasarkan siasatan awal, motosikal jenis Yamaha 125ZR dinaiki mereka dari arah Batang Merbau menghala ke Gual Ipoh, Tanah Merah bertembung dengan lori dipandu lelaki berusia 39 tahun yang sedang membelok masuk ke simpang kanan.

“Pada masa sama, motosikal mangsa cuba memotong lori itu dan terlanggar bahagian belakang sebelah kanan akibat terlalu hampir lalu menyebabkan Muhammad Hafizul terperosok di bawah lori manakala Muhammad Zulekhman tercampak ke dalam semak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Haki berkata mayat dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat manakala kemalangan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau memohon kerjasama saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan