JKDM Selangor Rampas Kenderaan, Besi Sekerap, e-Sisa Bernilai RM30.4 Juta

14/10/2024 05:22 PM

PELABUHAN KLANG, 14 Okt (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah II (Selangor) merampas kenderaan mewah, minuman keras, besi sekerap, e-sisa serta beberapa komoditi lain bernilai RM30.4 juta dalam serbuan berasingan di Pelabuhan Klang antara Ogos hingga 4 Oktober lepas.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata bagi kes rampasan kenderaan mewah, pihaknya menemukan enam kenderaan import pelbagai jenis bernilai RM794,000 itu selepas melakukan pemeriksaan ke atas lima kontena di Pelabuhan Barat dan Utara pada 22 Ogos lepas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua kenderaan yang dipercayai berasal dari Asia Timur itu tiba di pelabuhan berkenaan pada 17 Julai lepas tanpa mendapat kelulusan permit import dari Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI). 

"Pengimportan kenderaan adalah tertakluk kepada permit import dikeluarkan MITI sebagaimana yang telah digariskan di dalam Butiran 3(2), Bahagian 1, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Bagi kes minuman keras, Anis Rizana berkata pemeriksaan terhadap lima buah kontena di Pelabuhan Utara dan Barat pada 26 Sept lepas menyaksikan pihaknya merampas 79,104 liter minuman keras bernilai RM3.11 juta, dipercayai dibawa masuk dari negara Asia Timur dengan diikrarkan sebagai rim besi trak dan album gambar.

Dalam kes berasingan, beliau berkata JKDM turut merampas 1,098.19 tan besi sekerap dengan anggaran nilai RM13.2 juta hasil sitaan terhadap 44 kontena berasal dari sebuah negara di benua Amerika di Pelabuhan Barat pada 5 Sept lepas.

Anis Rizana berkata pengimportan besi sekerap adalah tertakluk kepada permit import dikeluarkan oleh SIRIM (Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia) sebagaimana yang digariskan dalam Butiran 5, Bahagian I, Jadual Keempat, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

"Logam sekerap itu telah diikrarkan sebagai aloi aluminium, emping aluminium dan emping tembaga untuk mengelak keperluan permit import bagi tujuan pengimportannya," katanya. 

Selain itu, beliau berkata menerusi Ops E-Waste, JKDM dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) berjaya menyelamatkan ketirisan hasil sebanyak RM558,579 menerusi rampasan 2118.91 tan e-sisa bernilai RM5.59 juta di Pelabuhan Barat. 

Beliau berkata kejayaan itu susulan pemeriksaan terhadap 107 buah kontena dalam operasi dijalankan pada 17 Ogos hingga 4 Okt lepas yang dipercayai tidak mendapat kelulusan untuk dibawa masuk ke dalam negara untuk tujuan pemprosesan.

JKDM turut berkongsi kejayaan menumpaskan kemasukan etil alkohol 96 peratus tidak dinyahasli, rokok putih dan kretek serta minuman keras dengan anggaran jumlah keseluruhan sebanyak kira-kira RM7.15 juta. 

Dalam perkembangan lain, Anis Rizana berkata JKDM sedia menyokong pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) jika kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan semula cukai berkenaan. 

"Apa-apa berkaitan percukaian, ia di bawah kuasa Kementerian Kewangan, jadi kita tunggu pembentangan belanjawan Jumaat ini. Apa jua keputusan kerajaan, JKDM akur dan bersedia untuk melaksanakannya," katanya.  

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata pengenalan semula cukai GST hanya akan dilaksanakan sekiranya ambang gaji minimum meningkat kepada RM3,000-RM4,000. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan