Cedera Bekas Isteri: AGC Tolak Representasi Pelakon Hafidz Roshdi

14/10/2024 05:11 PM

KUALA KUBU BHARU, 14 Okt (Bernama) -- Kes pelakon Hafidz Roshdi yang didakwa mencederakan bekas isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri akan diteruskan dengan perbicaraan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan lelaki itu. 

Keputusan AGC itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Eirene Nabila Amani Wiliams-Hunt pada prosiding sebutan di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini. 

"Pihak pendakwaan mahu meneruskan kes setelah meneliti semua fakta-fakta kes berkenaan dan memohon agar mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan," katanya. 

Sehubungan itu, Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menetapkan 20 Jan depan untuk perbicaraan dan mengarahkan pengadu iaitu Nurul Shuhada, 30, hadir pada prosiding berkenaan.

Pada prosiding itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Hafidz memaklumkan mahkamah bahawa Nurul Shuhada telah menarik balik laporan polis berhubung kejadian itu pada 6 Julai lepas dan tidak berhasrat meneruskan kes berkenaan.

“Pengadu merupakan saksi utama dalam kes ini, kebiasaannya pendakwaan akan menarik balik pertuduhan selepas pengadu tidak mahu meneruskan kes.

“Jika tarikh perbicaraan ditetapkan, saya mohon pihak pendakwaan mengesahkan dokumen termasuk laporan tarik balik kes terlebih dahulu agar tidak membuang masa mahkamah,” katanya. 

Akberdin bagaimanapun berkata pihaknya tetap menghormati keputusan pendakwaan untuk meneruskan kes itu.

Pada 13 Mac 2023, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada yang semasa itu adalah isterinya. 

Pelakon drama itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak, berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pada 3.22 pagi, 2 Mac 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Pada 27 Julai 2023, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam mengesahkan pasangan itu bercerai talak satu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan