Lima Keldai Akaun Termasuk Tiga Wanita Ditahan, Mangsa Kerugian Lebih RM180,000

15/10/2024 11:35 AM

BALIK PULAU, 15 Okt (Bernama) -- Polis menahan tiga wanita dan dua lelaki kerana disyaki menjadi keldai akaun kepada beberapa sindiket penipuan sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM180,962 dalam kejadian berasingan semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata suspek termasuk seorang wanita warga emas yang kesemuanya berusia 31 hingga 63 tahun itu, ditahan hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan oleh pihak polis.

“Dalam kes pertama, polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Barat Daya menahan seorang wanita berusia 34 tahun di Bayan Lepas, kerana menjadi keldai akaun kepada sindiket pelaburan forex tidak wujud dalam talian.

“Berdasarkan siasatan, mangsa membuat beberapa transaksi secara dalam talian ke akaun bank yang berbeza termasuk milik wanita ditahan itu dengan jumlah keseluruhan RM145,000," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kamarul Rizal berkata dalam kes seterusnya polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 31 dan 36 tahun kerana menjadi keldai akaun kepada sindiket urusan kerja sambilan secara dalam talian melalui aplikasi Facebook membabitkan kes di Bayan Lepas.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, mangsa ditawarkan kerja sambilan dengan bayaran gaji yang lumayan, tetapi perlu membuat bayaran terlebih dahulu dan melakukan beberapa transaksi secara dalam talian ke akaun bank berbeza sebanyak RM20,352,41.

Kamarul Rizal berkata dua lagi kes melibatkan penahanan dua wanita masing-masing berusia 44, dan 63 tahun yang menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan, sehingga menyebabkan tiga mangsa kerugian RM2,780 hingga RM10,000.

Kesemua lima individu yang ditahan itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan