Kanak-kanak Enam Tahun Didera, Polis Tahan Bapa, Ibu Tiri

12/10/2024 04:00 PM

IPOH, 12 Okt (Bernama) -- Pasangan suami isteri ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki enam tahun di sebuah rumah di Ladang Kalumpong, Bagan Serai, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Juna Yusoff dalam kenyataan berkata pihaknya menahan bapa kandung dan ibu tiri mangsa itu, masing-masing berumur 47 dan 33 tahun, pada kira-kira 5.30 petang.

Beliau berkata polis turut merampas beberapa alatan dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa serta tiga botol cecair disyaki ketum.

Juna berkata kanak-kanak berkenaan telah dibawa ke Hospital Taiping dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan pada muka, dada, perut, kedua-dua tangan, kaki dan paha akibat dipukul.

“Mangsa kini dirawat di Hospital Taiping dan berada dalam keadaan stabil, kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama lima dari tarikh tangkapan hingga 14 Okt bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam dan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di talian 05-7212222 sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan