Isu Hak 40 Peratus Hasil Sabah: Permohonan AG Untuk Ketepi Kebenaran Diperoleh SLS Ditolak

17/10/2024 08:18 PM

KOTA KINABALU, 17 Okt (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Peguam Negara untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) bagi memulakan semakan kehakiman berkaitan isu hak 40 peratus hasil negeri itu seperti termaktub di bawah Perlembagaan.

Panel tiga hakim diketuai Tan Sri Nallini Pathmanathan, yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang, menyampaikan keputusan itu hari ini.

Susulan keputusan itu, kes berkenaan akan diteruskan dengan perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi di sini yang akan mendengar merit semakan kehakiman berkenaan pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Menurut penghakiman panel itu, SLS mempunyai locus standi bagi memulakan semakan kehakiman dalam kes ini dan oleh yang demikian, tiada keperluan untuk memberikan kebenaran.

Pada 18 Jun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap kebenaran yang diberikan kepada SLS bagi memulakan semakan kehakiman bagi memaksa 40 peratus hasil persekutuan yang diperoleh dari Sabah dipulangkan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Pada 11 Nov 2022, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memberi kebenaran kepada SLS untuk memulakan semakan kehakiman selepas memutuskan bahawa ia mempunyai locus standi untuk berbuat demikian kerana ia adalah isu berkepentingan awam.

Jabatan Peguam Negara telah memperoleh perintah penggantungan bagi menghalang obtained a stay order to stop the High Court from hearing the merits of the case pending the appeal.

SLS memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2022 bagi membatalkan warta Kerajaan Persekutuan mengenai geran tahunan sebanyak RM125.6 juta bagi Sabah atas dakwaan ia melanggar hak hasil negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan