Polis Rampas Pelbagai Jenis Reptilia Bernilai Lebih RM300,000 Di Tumpat

18/10/2024 11:16 AM

KOTA BHARU, 18 Okt (Bernama) -- Polis merampas pelbagai jenis reptilia hidup yang diseludup dari Thailand dianggarkan bernilai lebih RM302,500 di Kampung Mentua, Tumpat semalam.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata antara haiwan reptilia yang dirampas ialah ular, cicak dan kura-kura dipercayai untuk dijual sebagai haiwan peliharaan.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata rampasan dilakukan pada 6.30 pagi apabila anggota polis  mengesan beberapa orang dalam keadaan mencurigakan di tebing sungai semasa membuat rondaan Op Taring Wawasan Kelantan.

“Semasa pasukan tiba, semua suspek telah melarikan diri dan hasil pemeriksaan menemukan lebih 70 ekor pelbagai jenis ular, lima cicak jenis spiny-tailed monitor dan sembilan kura-kura dijumpai di dalam kotak itu," katanya sambil menambah kesemua haiwan berkenaan dijual untuk pasaran tempatan.

Nik Ros Azhan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 60(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. 

 Kesemua hasil rampasan diserahkan ke Komtak Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan