JSJN Tumpas 193 Sindiket Dadah, Tahan 612 Ahli Sejak Januari

18/10/2024 03:10 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menumpaskan 193 sindiket dadah dan menahan 612 ahli dalam tempoh Januari hingga September lepas. 

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata secara perbandingan, terdapat penurunan bagi tempoh sama pada 2023 yang merekodkan sejumlah 245 sindiket ditumpaskan dan 791 ahli sindiket berjaya ditangkap.

“Dari aspek rampasan pula, dalam operasi yang dijalankan bermula Januari hingga September 2024, sejumlah 8,996.1 kilogram pelbagai jenis dadah dan 4,749.05 liter pelbagai jenis cecair dadah serta 39,105.37 kilogram daun ketum dan 43,499.85 liter air ketum telah berjaya dirampas.

“Secara keseluruhan, jumlah rampasan terbabit telah berjaya menyekat penggunaan dadah kepada 44.98 juta orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi bulan Oktober anjuran JSJN di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Sementara itu, mengulas mengenai perubahan tingkah laku dan psikologi pegawai serta anggota polis, Razarudin berkata warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya pegawai penyelia disaran lebih peka dan prihatin terhadap sebarang perubahan dialami pegawai masing-masing.

“Kesihatan mental amat subjektif, luas dan merangkumi pelbagai aspek yang boleh membabitkan sesiapa sahaja. Kenyataan prejudis bahawa hanya yang ‘sakit mental’ sahaja perlu berjumpa kaunselor, harus dikikis.

“Realitinya, pengurusan kaunseling yang berkesan mampu membantu seseorang pegawai daripada terjerumus dalam pelbagai masalah peribadi, kerjaya, keluarga dan hubungan interpersonal,” katanya.

Beliau berkata ia juga dapat membantu pegawai meningkatkan pembangunan diri mereka bagi mencapai tahap kefungsian psikologi yang tinggi, seterusnya penghasilan kerja yang produktif dan berkualiti.

“Seperti semua sedia maklum, kerjaya sebagai seorang pegawai polis antara yang sangat mencabar dan memerlukan kekuatan fizikal, mental dan emosi.

“Kerjaya ini juga amat mulia di sisi agama kerana pengorbanan yang dilakukan demi kesejahteraan masyarakat dan negara,” katanya.

Pada majlis itu, Razarudin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 40 pegawai polis dan pegawai awam yang telah mempamerkan prestasi perkhidmatan cemerlang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan