Sindiket Edar Ganja Tumpas, Lima Individu Ditahan

17/10/2024 04:59 PM

GEORGE TOWN, 17 Okt (Bernama) -- Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket pengedaran ganja dengan penahanan lima individu dan merampas dadah berkenaan dianggar bernilai RM115,000 menerusi empat serbuan yang dijalankan serentak di sekitar negeri ini bermula 4 petang Selasa hingga 5 pagi semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata kesemuanya yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia antara 24 hingga 36 tahun ditahan di kawasan letak kereta sekitar bandar raya ini.

Beliau berkata pihaknya merampas tiga beg berzip mengandungi 35 bungkusan plastik lut sinar disyaki berisi ganja dianggar seberat 20.132 kilogram bernilai RM65,960.

“Hasil siasatan terhadap mereka, polis menyerbu sebuah rumah di kawasan Ayer Hitam, di sini dan merampas tiga bungkusan plastik lut sinar berisi tumbuhan-tumbuhan kering disyaki ganja dianggar seberat 1.501 kilogram bernilai RM18,640.

“Turut ditemukan, sembilan bungkusan plastik lut sinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja dianggar seberat 4.6kg bernilai RM30,400,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah berkata motosikal bernilai RM5,000 turut disita dalam serbuan itu, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah RM120,000.

Beliau berkata hasil risikan mendapati sindiket telah bergiat aktif sejak pertengahan tahun ini dan keseluruhan dadah dirampas itu boleh digunakan 135,000 individu atau 135,000 kali penggunaan.

“Saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis THC dan Methamphetamine manakala dua daripada mereka juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya sambil menambah kesemuanya kini direman hingga 22 Okt ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan