SPRM Beku Aset Berkaitan Siasatan Kes MBI

18/10/2024 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan aset bernilai jutaan ringgit melibatkan siasatan kes Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) berkaitan rasuah konsesi perlombongan pasir.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata tiada tangkapan baharu dibuat berkaitan kes berkenaan setakat ini. 

“Tempoh reman seorang individu yang ditahan sebelum ini dilanjutkan tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Pegawai penyiasat masih siasat untuk mengesan mengenai saham disyaki diterima secara rasuah yang disimpan di beberapa syarikat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangi Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara SPRM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini hari ini.

Menurut Azman, SPRM memerlukan sedikit masa berikutan terdapat 20 projek sedang disiasat dan menjangkakan dapat memberi kemas kini mengenai kes berkenaan dalam tempoh tiga hingga empat hari lagi.

Khamis lepas, SPRM menahan dua individu melibatkan bekas eksekutif kanan MBI dan seorang ahli perniagaan dalam siasatan berkenaan.

Sembilan premis telah digeledah dan wang tunai hampir RM6 juta disita setakat ini termasuk penemuan wang tunai dalam mata wang asing berjumlah RM5 juta di sebuah kediaman.

Beberapa kertas siasatan dibuka mengikut Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Azam berkata SPRM turut meneliti isu tatakelola dalam siasatan terhadap projek 1BestariNet sebelum memanggil beberapa individu termasuk bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membantu siasatan.

Beliau berkata ketika ini pegawai penyiasat sedang melihat secara rawak mengenai pembekalan data yang diberikan oleh syarikat berkenaan kepada pihak sekolah.

"Beliau (Muhyiddin) akan dipanggil dengan mana-mana pihak lain namun belum masa ini lagi. Kita perlu mengkaji dengan teliti kerana dalam kes ini kita bukan sahaja melihat dari aspek jenayah tetapi juga pelbagai isu berkaitan tatakelola dalam pemberian tender berkenaan kepada syarikat terbabit,” katanya.

SPRM sebelum ini memulakan siasatan terhadap tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pendidikan bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan