APMM Gagalkan Cubaan Seludup Keluar Satu Tan Daun Ketum

21/10/2024 06:21 PM

KANGAR, 21 Okt (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup keluar kira-kira satu tan daun ketum bernilai RM50,000 di kedudukan 0.4 batu nautika timur laut muara Kuala Sanglang, Kuala Perlis dekat sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata hasil risikan Unit Risikan Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) dan Bot Perkasa 1227, pihaknya mengesan sebuah bot gentian tanpa nombor pendaftaran dipercayai dikendalikan dua individu sedang menuju ke sempadan Thailand, pada 1.20 pagi.

Beliau berkata kedua-dua individu itu berjaya melarikan diri selepas mengemudi bot secara berbahaya dan meninggalkan bot berkenaan di jeti berhampiran kawasan itu.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot menemukan 150 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki berisi daun ketum itu yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata daun ketum itu dipercayai diperoleh dari Kedah dan modus operandi penyeludup disyaki termasuk mengubah suai bahagian dalaman bot untuk menyembunyikan bungkusan ketum daripada dikesan penguat kuasa.

"Kita percaya ini dilakukan sindiket terancang yang sama kerana pernah dikesan sebelum ini, sindiket akan lari ke kawasan terdekat supaya pihak berkuasa sukar menjejaki mereka dan hanya membiarkan barangan tinggal di dalam bot," katanya.

Beliau berkata daun ketum dan bot dirampas dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis manakala kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 yang melibatkan pengendalian vesel tanpa lesen yang sah di perairan Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan