Lelaki Rugi Lebih RM80,000 Terperdaya Pelaburan Tidak Wujud

21/10/2024 06:54 PM

JOHOR BAHRU, 21 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki mengalami kerugian RM87,479 selepas terperdaya skim pelaburan tidak wujud dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan, pada 12 Ogos lepas. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata mangsa berusia 52 tahun itu menerima satu pautan daripada wakil syarikat Boci Club Members yang memperkenalkan diri sebagai 'Mandy', melalui aplikasi WhatsApp. 

Beliau berkata 'Mandy' telah menawarkan pelaburan mengenai saham pratawaran awam permulaan (IPO) dengan menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 80 peratus daripada modal yang dilaburkan. 

"Mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan telah membuat pelaburan dan melakukan dua transaksi ke dua akaun berbeza dengan modal keseluruhan berjumlah RM87,900, bermula 13 Sept hingga 15 Okt lepas. 

"Namun, mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM421 sepanjang tempoh pelaburan tersebut, " katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Balveer Singh berkata mangsa menyedari telah ditipu apabila dia diminta untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM15,000 bagi tujuan pengeluaran keuntungan wang tersebut, sebelum membuat laporan polis semalam. 

"Jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM87,479 dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, " katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan