Tiga Pengedar Dadah Ditahan Di Rantau Panjang

22/10/2024 07:52 PM

KOTA BHARU, 22 Okt (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki tempatan disyaki pengedar dadah di sekatan jalan raya Chabang Empat Salam, Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata kesemua suspek yang ditahan itu, berusia lingkungan 22 hingga 27 tahun.

Beliau berkata pemeriksaan dilakukan ke atas kereta Ford Fiesta dipandu suspek, telah menemukan lima kilogram ganja dianggar bernilai RM15,500 disorokkan di dalam but belakang.

“Hasil siasatan lanjut, pasukan PGA bertindak menyerbu sebuah rumah di Kampung Jeram Perdah kira-kira 4 pagi dan menemukan lebih 2,000 biji pil yaba bernilai RM30,000 disembunyikan di luar rumah.

“Polis turut merampas kereta Ford Fiesta, lima unit telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai RM600,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ros Azhan berkata dua suspek disahkan positif ganja dan mereka mengambil bekalan dadah itu di sempadan negara untuk pasaran tempatan di negeri ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 15(1) dan Seksyen 7 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek diserahkan kepada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan