Bekas Pegawai Kanan Kerajaan Antara Ditahan, Dipercayai Terlibat Rasuah RM50,000

23/10/2024 05:12 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Seorang bekas pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan antara dua individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki memberi dan menerima rasuah kira-kira RM50,000 sebagai balasan membantu mendapatkan projek daripada jabatan tersebut.

Sumber SPRM berkata kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 50-an itu ditahan pada 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut dari 2021 hingga 2024.

“Bekas pegawai kanan tersebut disyaki telah menerima kira-kira RM50,000 tunai secara berperingkat daripada suspek kedua iaitu pengarah sebuah syarikat sebagai balasan mendapatkan tiga projek untuk syarikat berkenaan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini 

Berikutan itu, beliau berkata kedua-dua suspek direman enam hari hingga 28 Okt selepas permohonan dilakukan SPRM di Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan