Imigresen KL Gempur Dua Premis Perniagaan, 32 Warga Asing Ditahan Di Sentul

23/10/2024 10:07 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur telah menggempur dua premis perniagaan dan menahan 32 warga asing yang didapati bekerja tanpa permit dan menyalahgunakan pas lawatan di Sentul di sini hari ini.

Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dipercayai pemilik premis menjual gas petroleum cecair (LPG) turut ditahan dalam operasiyang dijalankan pada 4.30 petang itu.

Beliau berkata operasi dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu dijalankan selepas risikan selama dua minggu terhadap premis menjual LPG berkenaan dan sebuah lagi premis perkhidmatan mengecat dan membaiki kenderaan.

“Kita mendapat aduan orang ramai berhubung premis itu yang mengupah pekerja warga asing,” katanya dalam sidang media di lokasi serbuan.

Beliau berkata kesemua 32 warga asing termasuk seorang wanita berusia 24 hingga 50 tahun tersebut  disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 seperti tidak memiliki sebarang pas atau permit serta salah guna pas.

Wan Mohamed Saupee berkata mereka melibatkan lima warganegara India, Pakistan (17), Bangladesh (7) dan dua lelaki serta seorang wanita Indonesia.

Bagi lelaki tempatan berkenaan pula, menurutnya dia akan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang tanpa izin.

"Semua yang ditahan akan dibawa ke pejabat JIM Kuala Lumpur Jalan Duta bagi tujuan dokumentasi sebelum dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil," katanya.

Mengulas mengenai operasi berkenaan, beliau berkata ia dilaksanakan secara  bersepadu dan berterusan agar tindakan menyeluruh dapat dikenakan terhadap syarikat atau majikan yang berdegil mahu menggajikan pendatang tanpa izin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan