Atur Gerak Penggiliran Pasukan Baru MALBATT 850-12 Bermula 6 Nov

24/10/2024 02:21 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang sedang bertugas di selatan Lubnan dijadualkan tamat tempoh penggiliran pada 14 Nov ini, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Adly berkata kerajaan akan melaksanakan atur gerak penggiliran untuk pasukan MALBATT 850-12 bermula pada 6 Nov ini.

“Perlu saya ingatkan bahawa anggota ini akan melalui atur gerak penggiliran dalam tempoh setahun. Jadi, jika kita lihat, MALBATT 11 akan berkhidmat hingga 14 Nov dan selepas itu, mulai 6 November, kami akan mengatur gerak pasukan baru bagi MALBATT 12,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) sama ada kerajaan melihat kepentingan kebajikan anggota MALBATT. 

Menjelas lanjut, Adly berkata kebajikan pasukan negara sentiasa menjadi keutamaan di bawah garis panduan yang ditetapkan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL), bagi menjamin keselamatan semua pasukan di bawah misi pengaman berkenaan.

Sebarang kecederaan atau risiko lebih besar katanya, menjadi tanggungjawab UNIFIL dalam menyediakan perkhidmatan bantuan sepanjang tempoh perkhidmatan pasukan pengaman negara di Lubnan. 

Menjawab soalan asal Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai status pasukan MALBATT susulan serangan tentera Israel di selatan Lubnan dan Beirut serta usaha mengkaji semula penglibatan Malaysia dalam misi pengaman tersebut, Adly berkata pasukan tersebut berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan aset.

Adly berkata penggiliran atur gerak MALBATT 850-11 adalah dari 14 Nov 2023 sehingga 14 Nov 2024, melibatkan seramai 853 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia termasuk seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dan 29 anggota daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

“Selain Malaysia, sebanyak 50 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyertai misi UNIFIL ini dengan jumlah anggota dan pegawai keseluruhan adalah 10,058 orang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan