Jho Low Anggap Riza Aziz Sebagai Kawan Baik - Jasmine Loo

25/10/2024 05:27 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low menganggap anak tiri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Aziz sebagai kawan baik.

Loo, 51, berkata beliau juga percaya Jho Low mempunyai hubungan rapat dengan Riza Aziz atau nama penuhnya Riza Shahriz Abdul Aziz, kerana kedua-dua mereka pernah pergi bercuti bersama keluarga di Whistler, Kanada, yang turut disertainya.

“Kali pertama saya bertemu Riza Aziz adalah dalam satu percutian bermain ski bersama Jho Low dan keluarganya di Whistler, Kanada antara Disember 2012 dan Januari 2013.

“Selepas itu, setelah saya melepaskan jawatan di 1MDB, saya bertemu dan berkenalan dengan beliau (Riza Aziz) dalam majlis lain ketika saya melancong ke luar negara bersama Jho Low,” kata Loo dalam kenyataan saksinya di sini hari ini.

Loo memberi keterangan sebagai saksi plaintif 1MDB dan tiga anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited yang memfailkan saman terhadap Riza Shahriz serta dua syarikatnya atas dakwaan menerima dana kira-kira US$248 juta yang disalah guna untuk kepentingan peribadi termasuk membiayai penerbitan filem serta membeli pelbagai hartanah.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili Riza Shahriz, Loo ditanya sama ada beliau cuba menggambarkan defendan pertama sebagai kawan rapat Jho Low dalam keterangannya.

“Saya percaya begitulah (mereka kawan baik),” katanya dan menjelaskan bahawa bahawa pemahamannya adalah berdasarkan pemerhatian peribadi.

Wan Azwan Aiman: Jadi anda membuat andaian itu berdasarkan keterangan anda bertemu defendan pertama (Riza Aziz) semasa percutian bermain ski di Kanada. Adakah itu penanda aras anda sebagai kawan rapat?

Loo: Saya cuma memberikan contoh.

Wan Azwan Aiman: Anda juga pernah ke sana semasa lawatan ski. Adakah itu menjadikan anda juga kawan baik Jho Low?

Loo: Saya tidak menafikan perkara itu.

Loo seterusnya menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai pemindahan US$700 juta daripada 1MDB kepada Good Star Ltd, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Jho Low, sebagai pembayaran semula wang pendahuluan yang dikatakan.

Loo berkata semasa berada di 1MDB, beliau tidak mengetahui apa-apa mengenai akaun bank di City National Bank di Los Angeles dan tidak tahu apa-apa mengenai pemindahan lebih US$10 juta ke dalam akaun yang dimaksudkan sebagai akaun operasi untuk Red Granite Pictures.

Dalam penyata pembukaan 1MDB minggu lepas, dana kekayaan berdaulat itu memberitahu bahawa ansuran pertama pembayaran lebih US$10,173 juta yang dibuat kepada Red Granite Pictures adalah daripada Good Star Ltd, sebuah syarikat yang dikawal oleh Jho Low, dan US$248 juta yang diterima Red Granite Capital sebenarnya adalah daripada bon yang diperoleh oleh 1MDB untuk pembelian beberapa loji janakuasa.

Pada Mei 2021, 1MDB dan tiga anak syarikatnya 1MDB Energy Ltd, 1MDB Energy Holdings Ltd dan 1MDB Energy (Langat) Ltd, memfailkan saman terhadap Riza Shahriz, Red Granite Pictures Inc dan Red Granite Capital Ltd.

Dalam saman itu, plaintif memohon pengisytiharan bahawa Riza Shahriz bertanggungjawab atas salah guna dana itu dan menuntut agar ia dibayar balik.

1MDB mendakwa Riza Shahriz telah menyalah guna dana mereka daripada Jho Low atau bersikap sengaja dan cuai kerana gagal membuat pertanyaan yang relevan mengenai sumber dana berkenaan.

Dalam kenyataan pembelaan yang difailkan pada 25 Okt 2021, Riza Shahriz dan dua syarikatnya mendakwa mendapat pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan akan disambung pada 28 Okt.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan