KPDN Kelantan Rampas 850 Kg Minyak Masak Cuba Diseludup Ke Negara Jiran

26/10/2024 04:56 PM

KOTA BHARU, 26 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas 850 kilogram (kg) minyak masak disyaki cuba diseludup ke negara jiran menerusi operasi bersepadu di Jalan Pintas Bendang Pak Yong-Simpangan, Tumpat, semalam.

Pengarah KPDN negeri Azman Ismail berkata rampasan itu dilakukan selepas pasukannya mengesan dan mengekori sebuah kereta disyaki membawa barang bersubsidi.

“Dalam operasi 7 pagi semalam, pemandu yang menyedari keretanya diekori bertindak memecut sebelum berhenti di tepi jalan dan melarikan diri.

“Pemeriksaan di dalam kereta itu menemukan kotak-kotak berisi minyak masak di bahagian penumpang belakang dan but,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah menyita sebuah Proton Persona bersama 850 kg minyak masak bersubsidi dianggarkan bernilai RM2,125.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan