Mohd Yusoff Dilantik Ketua Polis Kelantan Berkuat Kuasa Hari Ini

29/10/2024 12:42 PM

KOTA BHARU, 29 Okt (Bernama) -- Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Bukit Aman Datuk Mohd Yusoff Mamat dilantik Ketua Polis Kelantan berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Mohd Yusoff itu bagi menggantikan Datuk Muhamad Zaki Harun yang bersara wajib pada 31 Ogos lepas.

Sebelum ini, jawatan berkenaan dipangku Timbalan Ketua Polis Kelantan DCP Mohd Ali Tamby.

Majlis serah terima tugas diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) hari ini dengan disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ayob Khan berkata pelantikan Ketua Polis Kelantan adalah satu tradisi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meneruskan kelangsungan kepimpinan tertinggi PDRM di negeri ini.

“Suka saya ingatkan kepada Datuk Mohd Yusoff bahawa pangkat dan jawatan adalah amanah dan tanggungjawab yang berat dan bukan untuk mengumpul kekayaaan keluarga serta untuk bermegah-megah dengan kedudukan jawatan kita.

“Pangkat dan jawatan hanyalah pinjaman sahaja di dunia, oleh itu Datuk Mohd Yusoff perlu menjalankan tanggungjawab ini dengan penuh amanah, integriti dan telus,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di IPK Kelantan.

Ayob Khan berkata pelantikan Mohd Yusoff berdasarkan kepada pengalaman luas dimilikinya yang pernah menjadi Ketua Polis Daerah Klang Utara dan Komander Polis Marin Bukit Aman.

Sementara itu, Mohd Yusoff mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Ayob Khan serta kepimpinan tertinggi PDRM kerana diberi kepercayaan untuk menerajui polis kontinjen Kelantan.

“Tanggungjawab sebagai KP (Ketua Polis Kelantan) adalah besar dan saya akan jalan amanah ini dengan penuh intergriti bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negeri ini terjamin, selain meningkatkan kepercayaan masyarakat Kelantan kepada perkhidmatan PDRM,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan