PDRM Perlu Lebih Proaktif Tangani Isu Salah Laku Jenayah Pegawai Terlibat

05/11/2024 03:53 PM

SEREMBAN, 5 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu lebih proaktif dalam menangani isu salah laku jenayah terutamanya melibatkan anggota dan pegawai polis tanpa menunggu tindakan daripada agensi lain, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata tindakan pantas itu dapat memperkukuh profesionalisme serta akauntabiliti dalam kalangan anggota yang merupakan elemen penting bagi memelihara imej dan kredibiliti PDRM sebagai institusi penguatkuasaan yang berintegriti tinggi.

"Setiap pegawai dan anggota polis perlu bersikap tegas dan jangan bertolak ansur dalam menangani isu membabitkan salah laku termasuk rasuah. 

"Tiada istilah besar atau kecil, yang penting kita perlu bertindak dengan lebih proaktif, jangan tunggu (untuk mengambil tindakan), kalau boleh biarlah kita yang menjalankan siasatan daripada awal lagi, tidak perlu sehingga pihak lain yang bertindak sebelum kita," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas berucap pada Sambutan Hari Intergriti Peringkat Negeri Sembilan di Klana Resort, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata seramai 831 pegawai polis dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tempoh Januari sehingga September tahun ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 745 adalah kesalahan integriti dengan tujuh pegawai dikenakan tindakan akibat kesalahan rasuah, dadah (38), jenayah (31) dan syariah (10).

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan