Suami Isteri Antara Tiga Ditahan, Disyaki Transporter Sindiket Dadah

29/10/2024 01:45 PM

JOHOR BAHRU, 29 Okt (Bernama) -- Polis menahan tiga individu, termasuk sepasang suami isteri disyaki terlibat sebagai transporter dadah dan merampas 20 bungkusan berisi syabu bernilai lebih RM700,000 dalam operasi khas di sekitar Seri Alam, di sini pada 18 Okt lepas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata dua lelaki tempatan dan wanita warga asing itu ditahan Pasukan Tindakan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dalam serbuan yang bermula 9.30 malam hingga 2 pagi.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai mengambil bekalan dadah daripada sindiket di ibu negara dan kemudian ditinggalkan dalam kereta bersama kunci di lokasi tertentu dan akan berhubung dengan individu lain untuk mengambil dadah berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam hari ini.

Beliau berkata sindiket yang aktif sejak Julai lepas itu didapati menggunakan kereta sebagai tempat penyimpanan dadah dengan setiap bungkusan dijual sekitar RM30,000 untuk pasaran tempatan.

Mohd Sohaimi berkata lelaki berusia 58 tahun dan isterinya, 45, itu dipercayai dalang yang menggerakkan kegiatan transporter sindiket manakala seorang lagi individu berusia 40 tahun bertindak sebagai pemandu.

Mengulas lanjut, beliau berkata ketiga-tiga individu itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, namun negatif daripada sebarang jenis dadah hasil saringan ujian urin yang dilakukan dan siasatan turut dijalankan bagi mengesan individu lain yang dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan. 

Beliau berkata polis turut merampas kereta Honda Accord dalam serbuan berkenaan dan semua individu direman selama 13 hari bermula 19 Okt untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Seri Alam telah menahan seramai 1,770 individu atas pelbagai kesalahan dadah dengan rampasan bernilai RM5.26 juta dan RM3.91 juta sitaan harta sindiket sejak Januari hingga 27 Okt lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan