Culik Ahli Perniagaan: 10 Suspek Disambung Reman, Seorang Lagi Ditahan

29/10/2024 01:49 PM

JOHOR BAHRU, 29 Okt (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan sambung reman selama tujuh hari terhadap 10 individu termasuk dua wanita, yang dipercayai terlibat dalam kes penculikan ahli perniagaan pada 13 Okt lepas.

Turut direman seorang lagi suspek lelaki tempatan yang ditahan semalam.

Perintah reman terhadap semua suspek yang bermula esok hingga 5 Nov itu dikeluarkan Majistret Nor Farhana Mohd Ishak bagi membantu polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1962.

Sepuluh suspek sebelum ini telah ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, Ketua Polis Johor Datuk M Kumar dilaporkan berkata pihaknya telah menahan 13 individu termasuk seorang ahli keluarga mangsa berusia 23 hingga 58 tahun dalam beberapa siri tangkapan di sekitar negeri itu.

Berdasarkan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina, keluarga ahli perniagaan itu mendakwa terpaksa membayar RM20 juta bagi membebaskan mangsa pada hari sama kejadian.

Lelaki berusia 59 tahun terbabit didakwa dibawa lari pada kira-kira 5 pagi ketika sedang menunggu perkhidmatan e-hailing untuk ke lapangan terbang kerana akan berlepas ke luar negara atas urusan perniagaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan