Kartel Baja: SPRM Reman Eksekutif Pemasaran

30/10/2024 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Seorang eksekutif pemasaran kepada sebuah syarikat yang ditawarkan projek pembelian baja padi oleh sebuah pertubuhan direman empat hari bermula hari ini.

Permohonan reman itu dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi dan dibenarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Mengikut sumber, suspek lelaki yang berusia 30-an itu ditahan bagi membantu siasatan ketika memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM lewat petang semalam.

Sumber berkata hasil siasatan awal mendapati syarikat itu merupakan sebuah syarikat yang tidak aktif di Malaysia sejak lapan tahun lepas. 

"Bagaimanapun, syarikat induknya merupakan sebuah syarikat berpengkalan di Singapura. Syarikat terbabit juga dikatakan telah menerima kontrak pembekalan baja berjumlah 15,000 tan atau lebih kurang RM60 juta pada 2022. 

"Pemberian kontrak sangat meragukan dan ia dipercayai dibuat atas arahan pihak tertinggi pertubuhan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah dan diberikan secara runding terus atas alasan pembelian darurat," katanya kepada Bernama.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan SPRM telah memulakan siasatan dan pembongkaran berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi oleh salah sebuah pertubuhan di bawah kementerian terbabit.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 16, Seksyen 18 dan seksyen 23 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan