SEREMBAN, 29 Okt (Bernama) -- Gara-gara mengelak daripada pemeriksaan polis, seorang penagih dadah bertindak memandu kereta dengan laju sehingga melanggar pagar kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Rembau, di Jalan Seremban-Tampin, pada kira-kira 7 malam, semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata kejadian berlaku semasa anggota sedang menjalankan Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah ternampak sebuah kereta Proton Gen2 dipandu lelaki berusia 52 tahun dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata polis mengarahkan lelaki itu berhenti di jalan Pinggiran Senawang namun suspek melarikan diri dengan memecut laju ke arah Rembau.
“Tiba di persimpangan Ulu Sepri, kenderaan dipandu lelaki itu hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pagar perumahan JKR Rembau.
“Pemeriksaan ke atas suspek tidak menjumpai barangan yang salah, namun semakan kad pengenalan mendapati suspek mempunyai 16 rekod jenayah dan dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata suspek dikesan positif methamphetamine dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial