Lelaki 44 Tahun, Remaja Bawah Umur Ditahan Berhubung Penemuan Bayi Dalam Besen Sampah

29/10/2024 09:06 PM

SIBU, 29 Okt (Bernama) --Polis menahan seorang lelaki berusia 44 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun berhubung kes penemuan seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan di dalam besen sampah di depan sebuah premis perniagaan di Jalan Tong Sang hari ini.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata pihaknya berjaya menyelesaikan kes tersebut berikutan penahanan kedua-dua suspek.

Katanya permohonan reman terhadap mereka yang merupakan warga tempatan dijadualkan akan dilakukan esok.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat untuk membuang bayi tersebut. Seksyen ini membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Terdahulu tular di media sosial berkenaan penemuan bayi lelaki cukup sifat yang masih hidup dan sihat dipercayai dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam di dalam besen sampah di kawasan lot kedai di Jalan Tong Sang oleh orang awam sekitar pukul 8 pagi.

Zulkipli mengesahkan pusat kawalan daerah Sibu telah menerima panggilan MERS 999 daripada seorang lelaki pada 8.30 pagi yang memaklumkan penemuan bayi berkenaan ketika melalui kawasan tersebut.

Kqatanya, bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Pemeriksaan oleh doktor kecemasan mendapati bayi itu dilahirkankeadaan normal dan tiada kesan kecederaan pada tubuh badannya dan dia berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Zam Zam Ismail di talian 014-9067909 atau 084-364737 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan