KOTA BHARU, 3 Nov (Bernama) -- Sebanyak 216,000 biji pil Yaba bernilai RM3.24 juta berjaya dirampas sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menerusi Op Taring Sky di Kampung Laut, Tumpat, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan tersebut dibuat selepas anggota Batalion 8 menjalankan serbuan di tepi sungai di kampung itu berdasarkan maklumat yang diterima pada kira-kira pukul 10 malam.
"Semasa pemantauan berikutan maklumat mengenai penyeludupan dadah, anggota PGA yang sedang melakukan intipan terlihat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di tepi sungai.
"Sebaik menyedari kehadiran anggota PGA, kedua-dua lelaki tersebut segera melarikan diri dengan tergesa-gesa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan di kawasan tersebut menemukan beberapa kotak yang mengandungi 216,000 biji pil Yaba, dengan anggaran berat melebihi 25 kilogram, yang dipercayai diseludup dari Thailand.
"Kesemua barangan rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial