Keputusan Kes Peniaga Cederakan Isteri Hamil Hingga Koma Ditanguh Ke 9 Dis

03/11/2024 04:02 PM

JOHOR BAHRU, 3 Nov (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan keputusan kes seorang peniaga yang didakwa mencederakan isterinya tiga tahun lalu, ke 9 Dis selepas lelaki itu, kini bekas suami mangsa, tidak hadir ke mahkamah.

Hakim Fatimah Zahari menetapkan tarikh baharu tersebut setelah membenarkan permohonan pihak pembelaan yang memaklumkan bahawa Rosmaini Abd Raof, 41, tidak hadir kerana dimasukkan ke wad hospital akibat masalah kesihatan.

Rosmaini didakwa memukul kepala, muka, tangan, dan menghentakkan kaki pada belakang tangan Jahidah Nordin@Sylvester, 46, pada 17 Jun 2021, ketika mangsa masih isteri ketiganya, sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Peguam Mohd Salleh Togimin yang mewakili tertuduh berkata perkara tersebut dimaklumkan oleh isteri tertuduh petang semalam.

“Dia tidak hadir kerana tidak sihat dan dimasukkan ke Hospital Pendang, Kedah petang semalam kerana sesak nafas dan tidak sedarkan diri selepas menjalani latihan bola sepak,” kata Mohd Salleh. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu, sementara tertuduh diwakili peguam Mohd Salleh, Kamal Hisham Ja'afar, dan Aina Kamilah Zalizan. Turut hadir dalam prosiding tersebut ialah peguam pemerhati Syufri A Samad dan Muhammad Hazeem Mohd Norizan, serta adik-beradik mangsa.

Rosmaini didakwa mencederakan mangsa pada 4 Mei 2021 di sebuah pangsapuri di Kampung Aman, Larkin, di sini, sekitar 6 pagi. Dia didakwa di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, dibaca bersama Seksyen 326A, yang memungkinkan hukuman penjara dua kali ganda.

Pada 17 Jan lepas, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Rosmaini membela diri atas tuduhan tersebut.

Kes ini mendapat perhatian kerana mangsa, seorang penjawat awam, mengalami kecederaan parah dan koma ketika hamil, namun selamat melahirkan seorang bayi lelaki melalui pembedahan pada 30 Nov 2021.

Sementara itu, adik mangsa, Fauziah Nordin@Sylvester, 43, memaklumkan bahawa anak mangsa, Eshan Nufail, kini berusia dua tahun 11 bulan dan memegang kad orang kurang upaya (OKU) kerana perkembangan yang lambat.

Menurutnya, Eshan masih belum boleh berjalan dan beratnya hanya 9.5 kilogram, setara perkembangan bayi berusia setahun. Fauziah juga mengesahkan bahawa Jahidah masih dalam keadaan koma.

Pada 15 Mac tahun lepas, Mahkamah Rendah Syariah Seremban meluluskan permohonan fasakh yang dikemukakan oleh keluarga Jahidah pada 1 Feb 2023.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan